Faisal Idam Beraksi Di Sukan SEA 2017

By
Updated: June 3, 2016

Mohd Faisal Abdul Halim kini menjadi jadi satu lagi senjata terbaharu buat jurulatih skuad B-22 tahun negara, Frank Bernhardt, selepas pemain sayap Pahang itu terlepas peluang beraksi dalam dua aksi persahabatan di Paroi, Mac lalu.

Bekas pemain Piala Presiden Pulau Pinang itu mencuri tumpuan apabila muncul penjaring termuda dalam Piala Malaysia musim lalu.

Bertubuh kecil dan baharu berusia 18 tahun, kepantasan Faisal nyata mengagumkan serta memiliki kawalan bola yang baik.

Biarpun kurang mendapat tempat di Pahang kebelakangan ini, dia bertekad untuk bangkit memperbaiki prestasinya agar tempatnya dalam skuad B-22 mampu terjamin.

“Memang saya berharap dapat beraksi di Sukan SEA 2017 kerana pada masa akan datang, saya akan dapat memberi lebih kepada skuad negara.

“Walaupun ketika ini saya kurang beraksi bersama Pahang, namun saya akan terus berlatih dengan lebih giat,” katanya.

Satu perkara yang menjadi kebimbangan Faisal ialah kelemahannya dalam menyudahkan peluang.

Dia berharap dapat mengatasi kekurangan itu seberapa segera kerana tidak mahu menjejaskan peluangnya beraksi dalam Sukan SEA 2017.

“Masalah yang saya perlu atasi adalah dari aspek penyudah, saya masih belum mencapai tahap ketenangan di hadapan gawang.

“Setakat ini saya baru menjaringkan satu gol dalam lapan penampilan, saya belum puas hati,” katanya.

Sumber: AstroStadium