Skuad bimbingan Omar Ali jelas berada dalam kelas tersendiri dengan corak permainan bertenaga sepanjang 80 minit permainan itu berlangsung namu agak leka pada 10 minit terakhir.

Selangor yang bertekad untuk mengulangi kejayaan meraih pingat emas pada 1998 memperoleh gol menerusi pemain skuad projek Sukan SEA, Syahmie Safari pada minit ke-57 dan K. Kannan pada minit ke-70.

Bagi Omar, kejayaan yang dilakar anak buahnya dalam perlawanan pertama ini merupakan satu suntikan moral buat anak-anak buah bagi mencapai sasaran mara ke final.

“Saya dapat merasakan persembahan pertama kami agak mantap. Namun Melaka mempamerkan aksi bertenaga dalam perlawanan ini dan kami pula sedikit leka dalam 10 minit terakhir.

“Tetapi kami mengharapkan kemenangan ini dapat dikekalkan dalam setiap perlawanan kerana seterusnya kami akan menentang Johor pada Khamis ini,” katanya di sini hari ini.

Omar juga enggan mendabik dada di atas kemenangan yang diraih anak buahnya itu, sebaliknya mengingatkan mereka agar memberi fokus penuh kepada setiap perlawanan yang bakal diharungi selepas ini.

Untuk rekod, kali terakhir Selangor meraih emas acara bola sepak adalah ketika mereka menjadi tuan rumah Sukma 1998.

Sementara itu, finalis dua tahun lalu Johor memilih laluan sukar apabila sekadar seri 1-1 dengan Perlis dalam aksi pertama Kumpulan A di padang D, Perbadanan Sukan Sarawak.

Perlis terlebih dahulu di depan pada minit ke-53 menerusi Mohd. Zulkifli Zakaria yang menyempurnakan sepakan penalti namun kapten pasukan Johor, Muhd. Syazwan Andik Mohd. Ishak menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-70.

Jurulatih Johor, Ervin Boban jelas tidak berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan anak didiknya yang merupakan pemain-pemain akademi Johor Darul Ta’zim (JDT) namun beliau akur dengan satu mata yang diperoleh.

“Kita sepatutnya mampu bermain lebih baik tetapi pemain dilihat gagal mempamerkan prestasi sebenar. Saya harap pemain lebih cepat menyesuaikan diri dalam perlawanan seterusnya.

“Apa pun saya berpuas hati dengan keputusan satu mata yang diraih dan Perlis bermain dengan baik hari ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Kedah sekadar seri 0-0 dengan Pahang dalam Kumpulan B di Stadium Negeri.