Kebangkitan itu menyaksikan lima pingat emas Olimpik Rio dibawa balik ke Asia Tenggara berbanding tiada satu pun pingat emas dari London 2012.

Pencapaian itu mencuri perhatian Presiden Persekutuan Sukan SEA (SEGF), Tunku Imran Tuanku Ja’afar yang menyifatkan Olimpik kali ini menonjolkan prestasi terbaik atlet-atlet dari Asia Tenggara.

“Saya ucapkan tahniah kepada semua negara ini. Memang benar ini merupakan pencapaian yang cukup cemerlang berbanding 2012.

“Sebagai Presiden SEAGF, saya berpendapat sudah sampai masa untuk negara-negara terlibat menumpukan kepada sukan yang berpotensi untuk mendapatkan pingat di pentas Olimpik dan Sukan Asia.

“Sukan SEA yang dianjurkan setiap dua tahun sekali wajar dijadikan pentas terbaik untuk mencungkil bakat-bakat baharu sebagai pelapis dan membentuk satu persaingan yang membolehkan atlet-atlet meningkatkan prestasi,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Kecemerlangan negara Asia Tenggara di Rio diketuai oleh Thailand yang merangkul masing-masing dua emas, perak dan gangsa diikuti Indonesia (1 emas, 2 perak) dan Vietnam (1 emas, 1 perak).

Singapura pula menjadi sebutan di peringkat antarabangsa melalui emas yang diraih perenang sensasi mereka Joseph Schooling yang menewaskan perenang legenda Michael Phelps selain Malaysia yang meraih empat perak, satu gangsa dan Filipina (1 perak).

Tunku Imran, yang merupakan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, juga menyifatkan pencapaian kontinjen negara dalam temasya kali ini sebagai amat luar biasa.