Menerusi pengumuman daripada Perdana Menteri itu, pemenang pingat perak yang sebelum ini dijanjikan RM300,000 akan memperoleh jumlah keseluruhan RM500,000 manakala pemenang pingat gangsa pula akan mendapat RM300,000 berbanding RM100,000 sebelum ini.

“Kita (sebelum ini) telah isytihar setiap pemenang pingat perak akan dapat RM300,000, Hari ini saya nak umum kerajaan akan tambah RM200,000 lagi, jadi (jumlah keseluruhan) setengah juta (ringgit) dan juga bagi pemenang pingat gangsa, kita tambah RM200,000,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis sambutan kepulangan kontinjen Olimpik ne­gara di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Dalam Sukan Olimpik Rio 2016, Malaysia berjaya mencatatkan pencapaian terbaik sepanjang sejarah penyertaan sukan itu de­ngan memenangi empat pingat perak dan satu pingat gangsa.

Empat pingat perak diraih atlet-atlet badminton, Datuk Lee Chong Wei; beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan beregu Goh V Shem-Tan Wee Kiong serta pasangan atlet terjun, Pandelela Rinong-Cheong Jun Hoong.

Pingat gangsa dalam kejohanan itu pula disumbangkan oleh pelumba basikal negara, Mohd. Azizulhasni Awang.

Menurut Najib, beliau tidak mahu kejayaan ahli sukan Malaysia terhenti di Rio de Janeiro, sebaliknya, usaha perlu diperhebatkan lagi agar Malaysia dapat meraih kilauan emas pada Sukan Olimpik di Tokyo, Jepun pada tahun 2020.

“Walaupun kita tidak berjaya, kita sudah terlalu hampir untuk memenangi pingat emas, tetapi apakan daya, nasib tidak menyebelahi, tetapi mereka (atlet-atlet negara) tetap hero di mata kita,” katanya.

Katanya lagi, beliau akan bermesyuarat bersama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Chef de Mission kontinjen Malaysia, Tan Sri Dr. Mohamed Al Amin Abdul Majid untuk membuat bedah siasat terhadap pencapaian Malaysia dalam sukan Olimpik serta merancang suntikan-suntikan yang diperlukan untuk kemajuan sukan negara.

Beliau memberitahu, sebagaimana yang dinyatakan oleh raja pecut dunia dari Jamaica, Usain Bolt, `dedikasi’ adalah kunci kepada kejayaan dan semua atlet mesti memiliki cita-cita untuk mencapai kejayaan tertinggi di pentas-pentas terbesar dunia.

“Kalau hendak lebih berjaya, semua pihak iaitu jurulatih-jurulatih, persatuan-persatuan sukan, kerajaan, sektor swasta dan rak­yat Malaysia mesti berdiri teguh di belakang mereka dan melakukan apa termampu untuk membantu kejayaan mereka,” katanya yang juga yakin Chong Wei masih berupaya untuk beraksi di pentas dunia untuk tempoh sekurang-ku­rangnya dua tahun lagi.