Biarpun terpaksa berdepan detik mencemaskan, namun tiga mata yang diraih membuatkan Mohd. Ridzuan Ahmad meninggalkan stadium dengan senyum lebar.

“Memang berpuas hati kerana kita dapat raih tiga mata berharga. Bagi saya jika Harimau Malaysia ingin layak ke separuh akhir mereka perlu menang dengan Kemboja kemudian seri menentang Vietnam atau Myanmar.

“Bagaimanapun jika skuad kebangsaan boleh melakukan lebih baik daripada itu lagi bagus,” katanya kepada Utusan Malaysia di Stadium Thuwunna hari ini.

Dalam pada itu, Ridzuan turut memberitahu dia bersama beberapa rakannya akan terus berada di Yangon untuk melihat dua lagi perlawanan melibatkan skuad kebangsaan.

Malah, dia sanggup mengambil cuti serta berbelanja besar demi memberi sokongan kepada pemain negara.

“Saya ambil cuti untuk datang ke sini. Saya akan tinggal di sini bermula perlawanan pertama sehingga terakhir.

“Ada juga yang datang untuk menonton satu atau dua perlawanan sahaja.

“Untuk hadir ke sini kami sudah melakukan persiapan daripada awal lagi.

Dalam hidup kita ada minat masing-masing. Kalau kaki pancing mereka akan berhabis duit untuk membeli peralatan pancing.

“Saya pula sukakan bola sepak. Kalau tengok Malaysia beraksi tidak memberi sebarang kerugian kepada saya,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang lagi peminat Harimau Malaysia, Sofian Mohamed tidak menganggap kemenangan ini menjamin skuad kebangsaan boleh melepasi pe­ringkat kumpulan kerana lawan seterusnya turut penting.

“Kita menang itu menunjukkan pilihan pemain kita betul tapi bagi saya kalau menang pada perlawanan pertama tidak semesti­nya kita boleh melepasi peringkat kumpulan.

“Sebelum ini kita pernah tewas perlawanan pertama tapi kita berjaya ke peringkat separuh mati contohnya pada 2010 kita kalah kepada Indonesia tapi kita juara pada tahun itu,” katanya.

Perlawanan tersebut merupakan kemenangan pertama skuad Harimau Malaysia dalam kempem pembukaan peringkat kumpulan selepas kali terakhir me­lakukannya pada 2008.