Kedua-dua bakat muda dari Malaysia itu ialah Mohammad Alif Amzar Mohd. Hashim, 17, dan Kengo Lee, 17, merupakan pemain terbaik dalam program Siri Jelajah Klinik AirAsia-QPR yang diadakan di Pulau Pinang tahun lalu.

Selain itu, enam lagi bakat muda yang mengikuti latihan bersama QPR ialah Parin Bunyalakha, 16, dan Sathit Sisophakiri, 15, dari Thailand, Ahludz Dzikri Fikri, 15, Hamsa Medari Lestaluhu, 14, dan Muhammad Alfiqri, 16, (Indonesia) dan Li Te, 14, (China).

Sepanjang berada di London, lapan bakat muda ini didedahkan dengan pelbagai kemahiran termasuk teknik kawalan bola, hantaran dan rembatan, kelas pemakanan serta pelbagai aspek taktikal lain bagi meningkatkan kecekapan dan kemahiran mereka di atas padang.

Pada masa sama, mereka turut menerima beberapa set lengkap pakaian latihan QPR dan cendera­mata selain berpeluang melawat akademi serta menyaksikan perlawanan Liga Kejuaraan Inggeris antara dua kelab yang memiliki kepentingan Malaysia, QPR dan Cardiff City esok.

Ketua Pegawai Eksekutif QPR Trust, Andy Evans berkata, ini merupakan peluang bagi bakat muda yang terpilih itu merasai sendiri pengalaman berlatih de­ngan barisan jurulatih QPR dan diharap dapat berkongsi apa yang dipelajari apabila balik ke negara masing-masing.

“Kami menjalankan beberapa sesi berbeza dengan tujuan me­ngasah bakat setiap pemain dari aspek individu dan berpasukan sepanjang minggu sekali gus memberi mereka pengalaman menjadi sebahagian daripada QPR,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Andy berkata, pihak pasukan QPR mengalu-alukan kedatangan bakat muda bola sepak dari Asia ke London dan beliau percaya ia menjadi pengalaman berharga seumur hidup untuk mereka.