Kerajaan arahkan Harimau Malaysia jangan ke Pyongyang

By
Updated: March 6, 2017

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah menerima arahan daripada kerajaan agar tidak menghantar skuad Harimau Malaysia ke Pyongyang untuk menentang Korea Utara dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 pada hujung bulan ini..

HAMIDIN MOHD. AMIN
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, arahan berkenaan telah dimaklumkan kepadanya oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menerusi telefon pada pagi tadi dan disusuli surat daripada Kementerian Belia dan Sukan yang ditandatangani Ketua Setiausahanya, Datuk Lokman Hakim Ali tengah hari ini.

“Surat itu menyatakan bahawa Kerajaan Malaysia telah bersetuju supaya skuad Harimau Malaysia tidak mengambil bahagian untuk perlawanan di Pyongyang itu atas dasar dan pertimbangan faktor-faktor keselamatan.

“Keputusan Kerajaan Malaysia itu dibuat selepas perkara tersebut dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan baru-baru ini,” kata Hamidin dalam kenyataan akhbar.

Lokasi perlawanan Malaysia dengan Korea Utara mula menjadi isu apabila hubungan diplomatik kedua-dua negara menjadi tegang berikutan pembunuhan Kim Jong-nam yang merupakan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 pada 13 Februari lalu.

Skuad Harimau Malaysia bimbingan Datuk Ong Kim Swee dijadualkan bertemu Korea Utara di Pyongyang dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019 pada 28 Mac ini.