Presiden FAM itu berkata, tindakan menamatkan khidmat mereka dibuat kerana badan induk bola sepak negara kekura­ngan dana RM40 juta, selain memiliki lebihan kakitangan.

“Tiada niat saya untuk menganiaya sesiapa atau menutup periuk nasi orang.

“Niat saya hanya untuk mengurangkan beban kewa­ngan dihadapi FAM yang kekura­ngan dana serta mempunyai lebihan kakita­ngan.

“Tindakan ini untuk melindungi duit FAM. Kenapa saya cakap saya kena lindungi duit FAM? Ini adalah kerana FAM tidak mempunyai duit, malah telah kekurangan dana sebanyak RM40 juta.

“Macam mana mahu menguruskan Liga Malaysia (Liga M) jika tidak mempunyai dana yang mencukupi.

“Apabila saya bertanya mengenai soal ini tiada sesiapa memberi jawapan jadi saya terpaksa mencari tajaan. Untuk pe­ngetahuan anda, masalah utama sesebuah organisasi adalah kewangan.

“Peminat tidak tahu mengenai perkara ini, begitu juga media. Bukan mudah untuk saya duduki kerusi panas FAM. Kalau media tahu mengenai perkara ini maka mudah untuk saya tapi saya tahu Exco dahulu tidak mahu berkongsi perkara seperti ini kepada media.

“Jadi saya perlu bersikap telus dengan semua orang. Saya perlu membersihkan segala-galanya kerana Presiden FAM selepas ini tidak perlu menderita seperti saya.

“Sesetengah Exco FAM tidak suka saya berkongsi perkara ini kepada media tapi nak buat macam mana. Mereka yang pilih saya sebagai Presiden,” katanya kepada pemberita dalam perjumpaan khas bersama media di Bangunan Sultan Ibrahim, di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan FAM telah menamatkan perkhidmatan 20 stafnya, dengan Penolong Setiausaha Agung, Lazarus Jansen Xavier dan jurulatih dari Jerman, Frank Bernhardt turut termasuk dalam senarai itu.

Turut ditamatkan perkhidmatan adalah tujuh staf kejurulatihan termasuk penolong Bernhardt dalam skuad Bawah 23 tahun negara, Aminuddin Hussin dan dua pembantunya iaitu Megat Amir Faisal Al Khalidi Ibrahim (jurulatih penjaga gol) serta Mashiedee Sulaiman (jurulatih kecergasan).

Untuk mengurangkan beban kewangan FAM, Tunku Ismail turut bercadang untuk me­minta tajaan termasuk daripada Malaysia Airlines (MAS) selepas melihat jumlah kos penerba­ngan yang terlalu tinggi melibatkan skuad kebangsaan.

“Selepas meneliti laporan kewangan saya mendapati FAM terpaksa membayar kos yang tinggi untuk penerbangan skuad kebangsaan iaitu hingga RM1 juta dan itu membuatkan saya berfikir mengapa tidak FAM meminta tajaan daripada MAS,” katanya lagi.