Malaysia yang membuat penampilan pertama kali dalam kejohanan tersebut berpeluang ke suku akhir sekiranya skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee menewaskan Arab Saudi dalam aksi terakhir peringkat Kumpulan C di Stadium Kunshan pukul 7.30 petang hari ini.

Bagaimanapun, melihat kepada kekerapan pemain negara yang cenderung untuk melakukan kesilapan membuatkan Davies mengakui jika mereka berjaya mengurangkannya Malaysia mempunyai peluang cerah menewaskan Arab Saudi.

“Selepas beraksi dalam dua perlawanan sepenuh masa saya akui kejohanan ini berintensiti tinggi dan saya sentiasa menjangkakan kesemua perlawanan peringkat kumpulan adalah sukar.

“Kami tahu kami bukan pilihan dalam kejohanan ini tetapi itu bukan masalah untuk melakukan kejutan dan saya mengharapkan keputusan positif menyebelahi pasukan.

“Bagaimanapun, selain berdepan pasukan kuat, kesilapan individu juga menjadi ancaman. Saya tidak nafikan memang sukar untuk kami mengelak daripada melakukannya.

“Jika kami dapat mengurangkan atau langsung tidak melakukannya saya percaya kita boleh menewaskan Arab Saudi,” katanya kepada Utusan Malaysia di hotel penginapan hari ini.

Walaupun Malaysia berada di tangga tercorot dengan satu mata, Arab Saudi di kedudukan ketiga berkongsi dua mata bersama Jordan manakala Iraq di tempat teratas hasil empat mata.

Kesemua pasukan dalam Kumpulan C masih berpeluang untuk layak ke suku akhir.