Malaysia akan bertemu Arab Saudi dalam aksi terakhir Kumpulan C Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) (B-23) di Stadium Kunshan pada pukul 7.30 petang ini.

Haziq berkata, untuk menghadapi Arab Saudi dia perlu memberi penekanan terhadap kelebihan lawan terutamanya ketika berdepan situasi bola mati mahupun hantaran lintang.

“Sekarang ini kami berdepan misi wajib menang dan di atas kertas, Arab Saudi adalah pasukan besar namun kita tidak boleh pandang terlalu tinggi kepada mereka.

“Bagi saya ini adalah pertemuan 11 lawan 11 dan saya akui mereka bahaya terutamanya dalam sepakan bola mati dan hantaran lintang sebab mereka ada ramai pemain yang tinggi.

“Bagaimanapun sebagai penjaga gol saya perlu menggunakan kelebihan saya yang boleh menggunakan tangan untuk melompat serta menangkap bola, dan itu dapat membantu di bahagian pertahanan,” katanya kepada Utusan Malaysia di hotel penginapan hari ini.

Dalam pada itu, Haziq menggesa agar benteng pertahanan tidak leka sepanjang perlawanan terutamanya pada saat akhir permainan kerana sedikit kealpaan mampu mengubah segalanya.

“Sewaktu menentang Jordan, kita kerap diasak pada saat akhir permainan dan saya banyak memberi arahan di bahagian pertahanan. Saya perlu membantu pertahanan dan mereka perlu melakukan perkara yang sama,” katanya.