Faizal Saari Hanya Akan Dipanggil Selepas 20 Jun

By
Updated: June 3, 2016

Ketua jurulatih hoki negara, Stephen Van Huizen, tidak akan mempertimbang untuk memanggil semula penyerang, Faizal Saari, kembali ke pangkuan skuad kebangsaan selagi dia belum selesai penggantungan enam bulan yang berakhir 20 Jun ini.

Van Huizen mengakui terpikat dengan aksi Faizal ketika membantu Terengganu menjuarai Piala Razak, minggu lalu.

Namun, pengendali itu tidak mahu menjejaskan hukuman penggantungan penyerang terbabit walaupun terdesak untuk mengumpulkan pemain terbaik ke Program Latihan Jelajah Jepun.

Ini kerana beberapa pemain utama seperti Muhammad Razie Abd Rahim, Nabil Fiqri Mohd Noor, Fitri Saari, Faiz Helmi Jali dan Shahril Saabah tidak dapat mengikuti program itu ekoran pelbagai halangan.

“Faizal masih digantung ketika ini tetapi dia perlu melalui proses apabila dia kembali nanti.

“Memang satu berita baik apabila mengetahui dia mahu kembali beraksi bersama skuad negara,” katanya.

Malaysia akan mengadakan enam aksi persahabatan di Jepun.

Tanpa Faizal, jentera serangan akan diketuai seorang lagi pemain Terengganu, Firhan Ashaari.

Van Huizen juga sudah menghantar beberapa nama yang akan dipanggil dalam skuad kebangsaan selepas tamat program latihan di Jepun.

“Objektif utama kami adalah untuk memberi pendedahan kepada setiap pemain di samping memilih pemain yang akan layak ke kelayakan tahun depan,” ujarnya.

Sumber: AstroStadium