Penyerang Arsenal itu menghapuskan sebarang keraguan mengenai kebolehannya menjaringkan gol apabila menanduk masuk gol pertama kejohanan 2016 pada minit ke-57 dalam perlawanan pembukaan di Stade de France Jumaat lalu.
Selepas memulakan kempen mereka dengan langkah agak gemuruh, Les Bleus akhirnya melepaskan tekanan di bahu mereka dengan memperoleh gol kemenangan pada penghujung perlawanan apabila sepakan menakjubkan oleh Dimitri Payet memastikan mereka meraih kemenangan penting 2-1 ke Romania.
Walaupun kemenangan itu dianggap “melegakan” oleh pemain pertahanan Adil Rami, Giroud percaya penyokong kini menjangkakan skuad Didier Deschamps akan mempamerkan potensi penuhnya.
“Kami akan menjadi lebih baik seiring dengan perjalanan kejohanan dan saya beraksi lebih baik apabila berada di bawah tekanan.
“Saya tidak mahu menghabiskan masa menjawab pengkritik saya tetapi saya rasa yang baik dalam hal ini ialah saya telah mendapat banyak keyakinan dalam pasukan Perancis,” katanya, yang mengetuai jentera serangan Les Bleus selepas Karim Benzema tidak disenaraikan ke dalam skuad kerana terlibat dengan siasatan kes peras ugut berkaitan pita seks rakan sepasukan Mathieu Valbuena.
Walaupun prestasinya dikritik, namun Giroud telah menjaringkan lapan gol dalam lapan perlawanan terakhir bersama Perancis.
Albania pula memulakan langkah pertama mereka dengan gaya tidak diingini apabila ketua pasukannya Lorik Cana dilayangkan kad merah pertama dalam kejohanan ini ketika pasukannya tewas 1-0 kepada Switzerland Sabtu lalu.
Kemenangan Perancis esok akan menyaksikan pasukan tuan rumah mara ke pusingan kedua, dan memberi peluang kepada Deschamps untuk menggilirkan pemain dalam perlawanan terakhir mereka di peringkat kumpulan, menentang Switzerland pada 19 Jun di Lille, manakala kepada Albania pula keputusan itu bermakna malapetaka.
Jurulatih pasukan kerdil dari Balkan itu, Gianni De Biasi dari Itali sungguh taksub dengan tugasnya sehinggakan dia kini turut memiliki kerakyatan Albania.
“Kami memerlukan permulaan yang baik tetapi tidak berlaku seperti yang diinginkan,” katanya selepas perlawanan dengan Switzerland.
Jurulatih Albania itu dilihat menerapkan corak permainan seperti Itali iaitu menguatkan benteng pertahanan dan hanya mengharapkan serangan balas yang merupakan taktikal yang selalunya hanya akan dibolosi satu gol. – AFP