Romania kekang hasrat Switzerland tempah tiket ke pusingan kalah mati

By
Updated: June 16, 2016

PARIS 16 Jun – Hasrat Switzerland untuk menempah tiket ke pusingan kalah mati Euro 2016 terbantut selepas sekadar mencatat keputusan seri 1-1 dalam perlawanan Kumpulan A menentang Romania sebentar tadi.

Romania terlebih dahulu mengejutkan Switzerland apabila penyerangnya Bodgan Stancu menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-18 selepas kapten skuad lawan, Stephan Lichtsteiner mengasari Alexander Chiphi dalam kotak penalti.

Gol tersebut menjadikan Stancu sebagai pakar sepakan penalti pada kejohanan kali ini selepas melakukan perkara yang sama ketika tewas 1-2 kepada Perancis pada perlawanan pembukaan, Jumaat lalu.

Tersentak dengan gol tersebut Romania yang menguasai perlawanan sejak perlawanan bermula, menggandakan serangan tetapi kecemerlangan penjaga gol Romania, Ciprian Tatarusanu ternyata wajar diberi pujian.

 

Namun gol yang dinanti-nanti akhirnya muncul apabila Admir Mehmedi memanfaatkan peluang untuk menjaringkan gol penyamaan ekoran kecuaian pemain pertahanan Romania mengeluarkan bola daripada kawasan bahaya.

Switzerland kini mengumpul empat mata dan perlu berdepan Perancis pada Ahad ini dengan sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri bagi melayakkan ke pusingan seterusnya.