Skuad bimbingan Joachim Loew tampil dengan kesebelasan utama dengan harapan mengutip tiga mata untuk mengungguli carta kumpulan, tetapi kekentalan barisan pertahanan dan kecekapan penjaga gol Poland, Lucas Fabianski ternyata menghampakan barisan serangan Jerman yang dikemudi oleh Mario Gotze, Mesut Ozil, Thomas Muller dan Julian Draxler.

Meskipun Jerman lebih banyak menguasai perlawanan dengan penguasaan bola kira-kira 69 peratus dan melakukan 16 percubaan ke arah pintu gol Poland, namun skuad Die Mannschaft terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata.

Kini Loew perlu mencatat sekurang-kurangnya keputusan seri dengan Ireland Utara pada perlawanan akhir peringkat kumpulan untuk mara ke pusingan kedua, keputusan yang sama diperlukan Poland ketika menentang Ukraine pada 22 Jun ini.

Sementara itu, Ukraine disahkan menjadi pasukan pertama yang tersingkir daripada kejohanan Euro 2016 selepas tewas dua perlawanan kepada Jerman dan Ireland Utara.

Jerman masih mengungguli carta kumpulan walaupun berkongsi empat mata dengan Poland dan hanya dipisahkan perbezaan jaringan manakala Ireland Utara masih di tangga ketiga dengan tiga mata.