Keganasan yang dicetuskan oleh penyokong Croatia sebelum ini telah membuatkan pihak Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) lebih berwaspada untuk mengelakkan insiden kekecohan sama berulang.

Ketika ini UEFA telah membuka kertas siasatan selepas penyokong Croatia membaling suar dan berlari ke padang semasa perlawanan pembukaan Kumpulan D menentang Turki.

Malah penyokong Croatia mengulangi perkara sama ketika menentang Republik Czech sehingga menyebabkan perlawanan terpaksa dihentikan selama empat minit kerana mereka membaling suar ke padang.

Dalam pada itu, beberapa penyokong Sepanyol telah ditahan kerana terlibat dengan salah laku yang mampu mengganggu perlawanan.

Tiga penyokong Sepanyol ditahan kerana membawa kain rentang neo-Nazi dan tiga lagi kerana membawa suar ke dalam stadium ketika perlawanan menentang Turki.

Pegawai keselamatan Persatuan Bola Sepak Croatia berkata, UEFA dan polis akan mengawasi perlawanan tersebut hingga tamat perlawanan.

“Kami hilang keupayaan kami apabila permainan ditunda kerana penyokong,” kata pemain tengah Croatia, Ivan Rakitic.

Rakitic berkata dia lebih berminat untuk bercakap mengenai perlawanan dengan Sepanyol yang akan mempertemukannya dengan rakannya dalam kelab Barcelona seperti Andres Iniesta dan Sergio Busquets.

“Saya tidak banyak bercakap dengan mereka kerana kami tahu perlawanan akan menjadi lebih mencabar kepada kedua-dua pasukan, dalam masa sama kami sentiasa berjaga-jaga dengan kemahiran individu mereka.

“Kami perlu menonjolkan perwatakan kami untuk membuatkan mereka lebih gerun dengan kami,” katanya.

Sepanyol telah menempah slot ke pusingan kalah mati namun perlu menjadi juara kumpulan untuk dipertemukan dengan pasukan yang menduduki tempat ketiga untuk perlawanan pusingan kedua.

Jika tewas kepada Croatia, juara bertahan itu bakal berhadapan laluan sukar kerana mungkin berhadapan dengan Itali yang merupakan pemenang Kumpulan E.