Sterling merupakan pilihan utama Hodgson untuk memulakan perlawanan tetapi prestasi­nya yang dilihat semakin merosot dipercayai ada kaitan dengan ejekan dan kritikan yang dilemparkan terhadapnya menerusi laman sosial.

Penyerang Manchester City itu sering melayari Twitter, Instagram dan laman sosial lain menyebabkan dia sering dilanda kemurungan apabila menjadi subjek ejekan sepanjang Euro 2016.

Pemain berusia 21 tahun itu juga dicemuh oleh penyokong sendiri ketika England menang 2-1 ke atas Wales di Lens dan ketika itu bertegas mampu menangani tekanan tersebut tetapi staf kejurulatihan bimbang dengan tahap persediaan mental Sterling menjelang pertemuan kalah mati dengan Iceland.

Meskipun Hodgson memuji persembahan Sterling dalam perlawanan pembukaan menentang Rusia, tetapi pemain itu masih menjadi sasaran ejekan pengguna media sosial.

Bulan lalu, Sterling mendedahkan dia berjumpa dengan pakar psikiatri sukan Dr. Steve Peters untuk membantu memulihkan keyakinannya tetapi situasi dalam Euro menyebabkan penye­rang itu berdepan satu lagi isu keyakinan untuk berdepan cemuhan penyokong.

Pembantu jurulatih England, Ray Lewington mempertahankan Sterling dan menggesa golongan pembuli di alam maya dan penyokong Three Lions untuk menyokong pemain muda tersebut.

Jelasnya, pemain bola sepak juga manusia yang mempunyai perasaan, le­bih-lebih lagi pemain muda yang masih mentah dan mencari pengalaman.

“Tidak elok jika melihat pemain seperti Sterling diejek penyokong dan keadaan itu menyakitkan hati. Ramai orang berfikir pemain bintang memiliki banyak duit dan tiada pera­saan. Ternyata perkara itu salah.

“Pemain muda kebiasaannya mengalami masalah keyakinan diri dan perkara itu jelas kelihatan kepada Sterling semasa perlawanan kedua (menentang Wales),” katanya.

Selain itu, Lewington mengakui dia tidak faham dengan sikap segelintir peminat yang membenci Sterling sedangkan pemain itu seorang yang baik, pemalu dan sentiasa memberi komitmen 100 peratus.