Katanya, rakyat Sepanyol terlalu terbawa-bawa dengan pelbagai kritikan sehinggakan tidak nampak kekuatan yang ada dalam pasukan ini.
Antara kritikan itu termasuklah tindakan jurulatih Vicente del Bosque menurunkan pemain yang sama dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan tanpa memberi peluang pemain utama berehat dan pemain simpanan beraksi.
“Kalau anda lihat, dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan, kami bermain dengan baik. Saya fikir kekalahan itu sengaja diperbesarkan. Kekalahan itu tidak menjejaskan keyakinan dan kami akan memperbaiki segala kekurangan dengan segera,” katanya.
Pertemuan Sepanyol-Itali nanti bukan sahaja dianggap antiklimaks dalam Euro 2016 malah boleh disifatkan sebagai ulangan final Euro 2012 di mana menyaksikan Sepanyol muncul juara selepas menang 4-0.
Berdasarkan rekod tersebut, pemain pertahanan berusia 31 tahun itu percaya Sepanyol berupaya belajar daripada pengalaman dan kekalahan.
“Kesimpulannya, walaupun kalah kami masih positif. Kami belajar daripada situ dan yakin akan meneruskan kemaraan ke peringkat berikutnya. Itali sebuah pasukan yang kuat tetapi dalam pusingan kalah mati ini semuanya sukar. Jadi hadapi sahaja perlawanan satu demi satu,” tegasnya.
Tambah meyakinkannya adalah sentuhan penyerang Alvaro Morata yang semakin menjadi dalam peringkat kumpulan lalu apabila berjaya menjaringkan tiga gol dalam dua perlawanan.
“Alvaro Morata kini berada pada tahap terbaiknya. Sebagai penyerang, kami hanya berharap dia dapat menjaringkan gol dan dia berjaya melakukannya setakat ini,” ujarnya.