Ketika mereka bersiap sedia menghadapi perlawanan menentang England pada Isnin ini, Konsulat Iceland di Perancis menguruskan proses pengundian lebih awal untuk setiap pemain negara pulau itu di hotel penginapan mereka, Novotel di Annecy.
Pemain Iceland akan mengundi untuk memilih pengganti Presiden Olafur Ragnar Grimsson yang paling lama berkhidmat untuk negara kecil tersebut dan akan bersara selepas 20 tahun memegang jawatan itu.
Selepas pemain melaksanakan tanggungjawab mereka, kotak undi akan diterbangkan ke Iceland untuk urusan pengiraan.
Pilihan raya Presiden Iceland dijadualkan berlangsung esok dan kemungkinan jumlah pengundi yang keluar lebih rendah berbanding sebelum ini disebabkan hampir 10 peratus daripada 330,000 penduduk negara itu membeli tiket untuk melihat pasukan kebangsaan mereka bermain di Perancis.
Malah ramai penduduk dijangka menghabiskan masa di rumah untuk menonton perlawanan Euro, sekali gus memberi bakal kesan terhadap jumlah penduduk yang keluar mengundi.