Kejayaan itu meletakkan Les Bleus di landasan untuk memburu kejuaraan Eropah ketiga selepas 1984 serta 2000, dan akan me­nempah pertemuan di antara England atau Iceland.

Menurut Griezmann, yang meledak dua gol selang empat minit pada babak kedua, pasukannya telah bekerja keras untuk memperbaiki keputusan selepas ke­tinggalan 0-1 hasil sepakan pe­nalti Robbie Brady seawal minit kedua.

“Saya sangat gembira kerana pasukan layak ke suku akhir dan kemenangan ini memberi makna besar buat saya.

“Saya sentiasa berharap mampu membantu pasukan meraih kecemerlangan, malah dalam perlawanan ini, terutama pada babak kedua… saya dapat lihat sisi berbeza ditunjukkan Perancis untuk membolehkan kami melakar kejayaan,” kata Griezmann.

Dalam perlawanan itu, Perancis bermula perlahan sehingga membolehkan Ireland mendahului 1-0 seawal minit kedua selepas dihadiahkan sepakan penalti.

Brady menyempurnakan tendangan dengan baik selepas pemain tengah Perancis, Paul Pogba menjatuhkan Shane Long dalam kawasan kotak penalti.

Babak kedua menyaksikan Pe­rancis mula mempamer peningkatan dengan lebih banyak melancarkan serangan dalam usaha mencari gol penyamaan.

Tandukan Griezmann pada minit ke-57 memberi semangat baharu buat Les Bleus dan menjadikan kedudukan 1-1.

Griezmann sekali lagi membuktikan dirinya berada dalam kelas tersendiri apabila rembatan kaki kiri dalam kawasan kotak penalti berjaya mengelirukan penjaga gol Ireland, Darren Randolph pada minit ke-61.

Pada minit ke-66 Ireland terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Shane Duffy dilayangkan kad merah kerana mengasari pemain lawan.

Perancis merupakan pasukan keempat yang mengesahkan slot ke suku akhir selepas Portugal, Wales dan Poland.