Turun selaku juara dua edisi berturut-turut pada 2012 dan 2008, Sepanyol gagal mempamer aksi meyakinkan sepanjang kempen di Perancis, termasuk tewas 1-2 kepada Croatia dalam aksi terakhir Kumpulan D, kekalahan yang menyebabkan mereka terpaksa bertemu Itali di peringkat lebih awal.
Jaringan Giorgio Chiellini dan Graziano Pelle membolehkan Itali menembus dendam atas kekalahan 4-0 kepada Sepanyol dalam final Euro, empat tahun lalu.
“Sudah tentu kami mahu teruskan cabaran, tetapi kami berada dalam laluan sukar dan ia disebabkan Sepanyol tidak mencapai standard yang diperlukan untuk muncul juara.
“Ada banyak sebab semua ini berlaku. Tahap permainan pemain, ia bercampur baur.
“Selepas kekalahan kepada Georgia (aksi persahabatan), saya sudah beritahu kami bukan pasukan pilihan pada kejohanan ini dan semuanya terbukti selepas kami gagal berada dalam kalangan pasukan terbaik di sini.
“Kami mungkin memiliki pemain yang hebat tetapi tidak berada pada tahap terbaik unntuk memenangi kejohanan,” kata tonggak Barcelona itu.
Pique bagaimanapun mahu pengalaman pahit itu menjadi motivasi kepada Sepanyol untuk menghadapi cabaran mendatang, malah masih menyatakan sokongan terhadap pengendali mereka, Vicente del Bosque.
Jurulatih veteran itu adalah orang yang bertanggungjawab menjulang La Roja merangkul dua kejuaraan menakjubkan – Piala Dunia 2010 dan Euro 2012.
“Dia berhak meneruskan tugasan, tetapi semua terpulang kepadanya.
“Sekarang, tumpuan kami adalah Piala Dunia 2018 di Rusia dan kami tahu di mana kedudukan kami sekarang, Sepanyol bukan lagi pasukan pilihan,” ujarnya lagi.
Sementara itu, perancang utama Sepanyol, Andres Iniesta mengakui, kesilapan terbesar pasukannya adalah terlalu memberi tumpuan kepada Itali.
“Saya rasa kami terlalu fokus kepada mereka dan akibatnya kami dihukum,” kata bintang Barcelona itu.