Wales tidak kalah dalam tiga perlawanan menentang skuad Red Devils sebelum ini malah menang dalam pertemuan terakhir mereka 12 bulan lalu yang mana Bale menjaringkan gol kemenangan perlawanan kelayakan di Cardiff.

“Kami umpama momok buat mereka. Diharap ketakutan itu akan kekal dalam kepala mereka.

“Perlawanan kelayakan tersebut memberikan kami lebih banyak pengetahuan mengenai pasukan mereka.

“Kami tahu bagaimana untuk menentang mereka dan bagaimana untuk bermain.

“Kami tahu semuanya selain menjangkakan mereka akan berusaha untuk mempamerkan aksi berlainan daripada saingan kelayakan namun itu tidak akan menjejaskan situasi perlawanan.

“Kami juga memahami mengenai mereka dan bagaimana mereka bekerja. Kami mempunyai perancangan tersendiri untuk menghentikan mereka dan dalam masa sama membantu jentera serangan kami berfungsi dengan baik,” kata Bale.

Wales adalah wakil tunggal British yang masih ada dalam kejohanan ini selepas menewaskan Ireland Utara di peringkat 16 pasukan terakhir manakala England tumpas kepada Iceland Isnin lepas.

Bale turut berharap Wales mampu meraih keputusan positif dalam saingan suku akhir untuk memperbaiki rekod tersingkir di peringkat sama setelah tewas kepada Brazil dalam Piala Dunia 1958.

“Kami telah melaksanakan tugas dengan baik untuk negara.

“Kami juga mahu meneruskan aksi terbaik ini dan mahu melangkah lebih jauh dalam kejohanan ini.

“Kami fahami kedudukan kami dan semuanya dalam perhatian kami malah kami akan berusaha untuk menewaskan Belgium untuk melangkah ke saingan separuh akhir,” kata Bale.