Pertembungan generasi emas

By
Updated: July 1, 2016

LILLE 30 Jun – Sejarah menanti Wales dan Belgium apabila kedua-dua pasukan itu yang kini dilabelkan sebagai ‘generasi emas’ bakal bertemu dalam perlawanan peringkat suku akhir Euro 2016.
Belgium yang menduduki ranking kedua FIFA dilihat terdesak untuk memastikan skuad mereka yang penuh dengan pemain-pemain berbakat melayakkan diri ke separuh akhir kejohanan besar pertama mereka sejak Piala Dunia 1986.
Wales pula, yang bersaing dalam kejohanan besar untuk kali pertama dalam tempoh 58 tahun, beraksi dengan lebih cemerlang berbanding pesaingnya dari kepulauan British yang lain iaitu England dan Ireland Utara.
Penyerang Wales, Gareth Bale yang kini menjadi penjaring terbanyak bersama kejohanan tersebut dengan tiga gol mengakui pertemuan dengan Belgium bakal menjadi perlawanan paling penting untuk pasukannya.
“Kami sedar betapa besarnya perlawanan peringkat suku akhir Piala Dunia 1958, namun selepas itu, pertembungan peringkat sama dalam Euro kali ini pastinya menjadi lebih penting untuk perkembangan bola sepak Wales.
“Pertemuan dengan Belgium adalah satu perlawanan yang kami tidak sabar untuk tempuhi. Kami hanya mahu menikmati perlawanan itu dan memberikan segala-galanya dengan harapan pasukan dapat layak ke separuh akhir,” katanya.


Wales, yang mengalahkan Rusia 3-0 dalam perlawanan Kumpulan B, terpaksa berhempas-pulas untuk menang 1-0 ke atas Ireland Utara di peringkat 16 pasukan terakhir, itupun menerusi jaringan sendiri Gareth McAuley.
Bagaimanapun, Belgium bakal memberi tentangan hebat kepada Wales apabila pasukan itu yang dalam perlawanan permulaan mereka tewas 2-0 kepada Itali, menang ke atas Ireland dan Sweden sebelum membelasah Hungary 4-0 di peringkat 16 pasukan terakhir.
Kemenangan Belgium terhadap Hungary itu banyak dibantu oleh prestasi cemerlang ketua pasukan mereka Eden Hazard yang menghasilkan satu gol dan merancang satu lagi.
Bagaimanapun, Hazard mengalami kecederaan ringan dalam perlawanan tersebut dan menyebabkan dia tidak dapat menjalani latihan selama dua hari tetapi dijangka kembali ke sesi latihan hari ini dan diturunkan dalam kesebelasan utama untuk menentang Wales.
Seperti Hazard, Bale juga adalah simbol peningkatan pasukannya. Dia pernah meraih kejayaan ke atas Belgium, menjaringkan gol tunggal perlawanan mereka dalam pusingan kelayakan di Cardiff setahun lalu.
Keputusan itu menonjolkan Wales sebagai pasukan yang perlu dihormati tetapi pertahanan Belgium, Toby Alderweireld yakin pasukannya tidak akan menerima nasib yang sama lagi.
“Kami mempunyai pemain-pemain yang mampu menghalang Bale. Kami tidak boleh melepaskan bola dengan begitu mudah.
“Sejak awal lagi sasaran kami adalah untuk memenangi kejohanan ini, tetapi adalah penting untuk menghadapi setiap perlawanan dengan cara yang betul,” kata pertahanan kanan Tottenham Hotspur itu.
Belgium yang dipenuhi bintang menjadikan mereka sebagai pasukan pilihan tetapi pengurus Wales, Chris Coleman percaya tekanan akibat harapan tinggi yang menyelubungi pemain-pemain lawan beberapa tahun ini boleh memberikan kelebihan kepada skuadnya.
“Tekanan adalah ke atas Marc (Wilmots, jurulatih Belgium), kerana pemain dan kualiti pasukan.
“Mereka perlu layak sekurang-kurangnya ke separuh akhir, perlawanan akhir malah menjadi juara. Itu akan menjadikan mereka tertekan,” katanya.