Penyingkiran itu pasti mengecewakan bintang penyerang Bayern Munich tersebut kerana selaku kapten dia gagal membawa pasukannya memahat sejarah melangkah ke separuh akhir buat kali pertama.
Kegagalan tersebut pasti akan dikenang oleh Lewandowski untuk satu tempoh yang lama, namun dia tetap pulang dari Perancis bersama kenangan indah apabila jaringannya ketika menentang Portugal diiktiraf sebagai gol terpantas Euro 2016.
Dalam aksi di Marseille semalam, Lewandowski hanya memerlukan satu minit, 40 saat untuk membolosi gawang Portugal sebelum pemain remaja sensasi, Renato Sanches berjaya mengheret permainan ke masa tambahan menerusi gol penyamaan minit ke-33.
Lewandowski, 27, hanya memerlukan empat hari untuk memadam rekod jaringan terpantas Euro 2016, yang sebelum itu dilakukan oleh pemain tengah Ireland, Robbie Brady ketika pasukannya tewas kepada Perancis.
Brady pula mengambil masa 1:58s untuk menewaskan penjaga gol Perancis, Hugo Lloris pada 26 Jun lalu dan jaringan Lewondowski 18s lebih pantas daripada pemain Ireland itu.
Begitupun, gol Lewandowski belum dapat memecahkan rekod jaringan terpantas Euro yang kekal dipegang bekas bintang Rusia, Dmitri Kirichenko iaitu 1:07s, yang dilakukan pada 2004.
“Kekalahan ini amat menyakitkan kerana kami tidak kalah kepada lawan yang lebih baik, sebaliknya tuah mengiringi Portugal sepanjang kejohanan dan perlawanan.
“Kami sudah berjuang sehabis daya dan saya benar-benar minta maaf atas kegagalan pasukan untuk memahat sejarah baharu Euro.
“Kami sudah terlalu hampir dengan separuh akhir dan saya tidak boleh percaya kedudukan 1-0 gagal dikekalkan.
“Saya mungkin melakukan jaringan pantas atau satu rekod, tetapi semua itu tidak bermakna selepas pasukan saya gagal meneruskan kemaraan,” kata Lewandowski kepada TV Polsat Sport.
Dilahirkan di Warsaw pada 21 Ogos, 1988, prestasi Lewandowski sepanjang Euro 2016 mengundang persoalan selepas dia gagal meledak gol biarpun sudah mengharungi tiga perlawanan peringkat kumpulan.
Namun, anak kepada juara judo Poland itu akhirnya bangkit dengan permainan terbaik pada peringkat kalah mati.
Malangnya, kebangkitan yang cuba dilakukan sudah terlalu lambat. Lewandowski gagal membantu Poland.