Iceland yang berjaya layak ke kejohanan utama untuk kali pertama dalam sejarah bola sepak negara itu juga boleh berasa bangga dengan pencapaian mereka yang mara hingga ke peringkat suku akhir.
Olivier Giroud menjaringkan gol pertama Perancis pada minit ke-12 sebelum Paul Pogba menambah jaringan pada minit ke-19 menerusi tandukan ke gawang Iceland.
Pada minit ke-42, Dimitri Payet memastikan kelebihan gol Perancis semakin bertambah apabila pemain tengah itu merembat masuk ke gawang Hannes Thor Halldorsson dan Antoine Griezmann menambah derita Iceland dengan menjaringkan gol sebelum tamat separuh masa pertama.
Kolbeinn Sigthorsson cuba untuk menghidupkan kembali semangat Iceland apabila menjaringkan gol pada minit ke-56, namun Giroud mengekalkan kembali kelebihan empat gol Perancis selang tiga minit kemudiannya.
Bagaimanapun, Birkir Bjarnason mendapatkan gol kedua buat Iceland pada minit ke-84, namun pasukan itu tidak mampu untuk menjaringkan tiga lagi gol bagi membawa perlawanan ke masa tambahan.
Perancis akan berdepan dengan juara Piala Dunia 2014, Jerman di peringkat separuh akhir kejohanan.