Sepakan penalti yang disempurnakan Griezmann pada penghujung separuh masa pertama setelah bola terkena tangan kapten Jerman, Bastian Schweinsteiger ketika berebut bola di udara dengan pertahanan Perancis, Patrice Evra, meletakkan tuan rumah di depan.

Penyerang Atletico Madrid itu sekali lagi menggegarkan gawang Jerman pada minit ke-72 selepas Manuel Neuer gagal menolak bola ke zon selamat untuk menjadikannya sebagai wira baharu Perancis.

“Dia (Antoine) adalah pemain kecil yang memberi kelebihan kepada kami,” kata penyerang Olivier Giroud selepas kemenangan dramatik di hadapan kira-kira 65,000 penonton yang hadir di Marseille, semalam.

Secara keseluruhannya, Jerman mendominasi permainan dan jurulatih mereka Joachim Loew berkata dia telah cuba meredakan perasaan anak-anak buahnya pada waktu rehat.

Dominasi Jerman berterusan pada babak kedua, namun gol kedua Griezmann meranapkan harapan skuad Loew.

Jaringan itu terhasil apabila umpanan lintang Paul Pogba dari kiri ditepis oleh Neuer ke dalam laluan Griezmann yang kemudian menyepak bola melepasi celah kaki penjaga gol Jerman itu.

“Bagi saya gol kedua terhasil selepas menunggu kesilapan yang dilakukan oleh penjaga gol Jerman,” kata Griezmann.

Jerman kemudian terus mengasak untuk merapatkan defisit gol tetapi menyaksikan percubaan Joshua Kimmich hanya mengenai palang dan satu lagi sepakannya sedikit tersasar manakala Perancis bertahan dengan hebat untuk mencatatkan kemenangan gemilang mereka.

Perlawanan akhir pada Ahad ini (Isnin waktu Malaysia) akan mempertemukan Griezmann dengan Ronaldo dan pasukan dari negara yang memiliki penduduk 11 juta menentang salah satu gergasi Eropah, yang menang Piala Dunia pada 1998 di gelanggang yang sama dan Kejohanan Eropah pada 1984.

Dengan enam gol dalam Euro 2016, Griezmann mendahului kedudukan penjaring serta kurang tiga gol untuk menyamai rekod Platini yang menjaringkan sembilan gol dalam kejohanan 1984.