Perancis memperoleh gol pertama selepas dihadiahkan penalti oleh pengadil Nicola Rizzoli dan disempurnakan oleh Antonine Griezmann pada penghujung babak pertama setelah bola terkena tangan Schweinsteiger sewaktu kapten Jerman itu berebut bola dengan pemain tengah skuad Les Bleus, Patrice Evra.
Griezmann menggandakan jaringan pada minit ke-72.
Pengendali Jerman, Joachim Loew menggantikan Schweinsteiger dengan pemain tengah Schalke, Leroy Sane pada minit ke-79.
Bagaimanapun Loew tidak menyalahkan kaptennya kerana memberi penalti kepada pihak lawan. Ini kali kedua berturut-turut Jerman memberikan sepakan penalti kepada pasukan lawan setelah pemain pertahanan Jerome Boateng melakukan kesilapan yang sama ketika menentang Itali dalam perlawanan suku akhir.
“Tiada sebab untuk saya menyalahkan dia. Anda boleh cakap tangan tidak sepatutnya berada di posisi itu namun adakalanya apabila anda melompat anda tidak boleh mengawal kedudukan tangan. Saya tidak boleh menyalahkan mana-mana pemain kerana melakukan kesalahan seperti itu,” kata Loew yang mengulas kesilapan Schweinsteiger.
Perlawanan separuh akhir hari ini sudah pasti tidak boleh dilupakan oleh bekas pemain Bayern Munich itu.
“Sudah pasti kami sedih dan kecewa kerana tidak layak ke final namun inilah bola sepak,” kata Schweinsteiger.