Griezmann sebelum ini gagal menyempurnakan sepakan penalti untuk kelabnya Atletico Madrid dalam perlawanan akhir Liga Juara-juara pada Mei lalu dan pasukannya kalah kepada Real Madrid yang diwakili Ronaldo menerusi sepakan penalti penentuan.

“Saya mengalami kekalahan kali kedua dalam perlawanan akhir untuk tempoh lebih sebulan sahaja.

“Kekalahan ini sangat mengecewakan,” kata pemenang Kasut Emas itu yang menjaringkan enam gol.

Griezmann mempamerkan kekecewaannya itu ketika mengambil trofi penjaring terbanyak apabila tidak senyum, sedangkan dia merupakan pemain yang sentiasa kelihatan gembira.

“Kami sangat hampir untuk melakar kejuaraan. Portugal tidak banyak mencipta peluang tetapi mereka bermain dengan bijak.

“Saya berbangga dengan pencapaian pasukan ini tetapi ternyata malam ini bukan milik kami,” kata pemain berusia 25 tahun itu.

Jurulatih Perancis, Didier Deschamps turut bersimpati dengan nasib Griezmann yang gagal meraih trofi kejuaraan menerusi dua perlawanan akhir.

“Griezmann merupakan pemain yang hebat dan kami terhutang budi kepadanya.

“Mungkin penyudahnya tidak klinikal atau kurang cergas pada malam ini tetapi dia pasti bangkit daripada kekalahan ini,” katanya.