Ronaldo terpaksa dikeluarkan selepas dikasari pemain tengah Perancis, Dimitri Payet tetapi tidak menghalang kapten Portugal itu ‘beraksi’ dari bangku simpanan.
Menurut Santos, Ronaldo menunjukkan usaha luar biasa sepanjang kejohanan ini walaupun kapten Portugal itu dikritik berulang kali, tetapi masih mampu mempamerkan semangat berpasukan yang hebat.
“Dua kali dia cuba kembali beraksi dalam perlawanan akhir tersebut, tetapi tidak berjaya.
“Kehadiran Ronaldo di bilik persalinan sangat penting, lebih-lebih lagi caranya menyokong saya dan membangkitkan semangat semua pemain dengan menyatakan perlawanan ini milik kami,” katanya.
Mengulas mengenai kekasaran ke atas Ronaldo, Santos berkata dia hairan kerana pengadil tidak memberi sepakan bebas.
Tetapi Santos tetap yakin dengan kemampuan anak buahnya melakar sejarah walaupun kehilangan Ronaldo dan berdepan pasukan lebih baik.
“Saya sentiasa berkata kepada pemain bahawa mereka memiliki bakat yang hebat tetapi perlu berjuang lebih kuat berbanding pasukan lawan.
“Mereka percaya dengan kata-kata saya bahawa kami mampu memenangi kejohanan ini,” katanya.
Jurulatih berusia 61 tahun itu turut memuji persembahan pemain pertahanannya Pepe yang memiliki reputasi kurang baik dalam karier bola sepak.
“Pepe merupakan pemain yang berjiwa besar dan mengerah segala kudrat sepanjang perlawanan. Kritikan yang dilemparkan kepadanya tidak benar. Dia mungkin sukar memulihkan reputasinya tetapi boleh berbangga dengan menjadi juara Eropah,” katanya.