Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata, insentif itu adalah sebagai penghargaan kepada atlet yang beraksi cemerlang pada temasya sukan dwitahunan itu, selain membakar semangat mereka untuk memberikan prestasi terbaik dalam acara yang diwakili.

“Kita belum perincikan jumlahnya tetapi paling tidak, sebanyak RM5,000 akan diberi sebagai sagu hati kepada mereka yang berjaya memenangi pingat,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bendera Negeri kepada kontinjen Sukma Perlis di Dewan Rakan Sukan Majlis Sukan Negeri di sini, malam tadi.

Azlan berkata, selain insentif berkenaan, ganjaran segera juga akan diberikan kepada atlet kontinjen Perlis yang berjaya merealisasikan impian meraih pingat pada temasya itu kelak.

“Atlet Perlis juga bakal mendapat insentif segera iaitu kita berikan cenderahati sebanyak RM700 bagi atlet yang memenangi pingat emas, perak (RM500) dan gangsa (RM300),” katanya.

Azlan berkata, kontinjen Perlis menyasarkan pungutan 10 pingat emas melalui acara tinju, angkat berat, tenis, taekwondo dan silat dan berharap dapat memperbaiki ranking pada Sukma kali ini.