Bintang Real Madrid itu memerlukan tempoh yang panjang untuk pulih daripada kecederaan akibat dikasari pemain Perancis, Dimitri Payet dalam perlawanan akhir Euro 2016, minggu lalu.

Ronaldo yang menangis ketika terpaksa diusung keluar pada minit ke-25, bagaimanapun menamatkan kempen Euro dengan air mata kegembiraan apabila Portugal berjaya merangkul kejuaraan Eropah buat kali pertama selepas menang 1-0 hasil jaringan pemain gantian, Eder.

Pemain berusia 31 tahun itu tidak pasti berapa lama dia terpaksa diketepikan daripada perlawanan, namun berehat di atas kapal mewah yang disewa dengan harga 41,000 pound (RM210,000) seminggu adalah cara terbaik untuk memulihkan lutut dan mentalnya yang kepenatan akibat mengharungi musim yang padat.

“Air mata adik saya yang cedera ibarat pisau menusuk ke jantung. Kami semua menangis untuknya, kami berkongsi rasa sakit itu.

“Namun perancangan Tuhan sangat hebat. Cristiano mena­ngis dalam kesakitan kerana tidak dapat membantu rakan-rakan sepasukan dan orang yang di­sayangi, tetapi dia tetap membawa pulang kejuaraan,” kata kakak Ronaldo, Katia Aveiro dalam Instagram.

Bagi Ronaldo, kesakitan yang dialami bagaikan hilang apabila berjaya membantu Portugal me­rangkul kejuaraan yang amat dihajati.

“Saya telah memenangi ba­nyak trofi bersama kelab. Saya tidak pernah memberi apa-apa buat skuad kebangsaan, jadi selepas banyak pengorbanan yang dilakukan sejak beberapa tahun, Portugal layak muncul juara.

“Saya sangat gembira. Trofi yang kami menangi bukan sahaja untuk Portugal, malah buat semua pendatang di negara ini dan mereka yang percaya dengan keupayaan kami. Saya amat bangga,” kata Ronaldo.