Pertahanan tengah kelahiran Melaka itu mengakui tidak mungkin dapat menarik semula persaraan antarabangsa yang diumumkannya selepas membantu Harimau Malaysia muncul naib juara Piala AFF pada 2014.

“Bukan saya tidak berminat, malah saya amat menghargai kalau ada lagi jurulatih negara yang mahu memanggil saya masuk pasukan negara semula.

“Kalau yang muda-muda pun sudah bersara, bagaimana saya yang pada usia begini pula boleh diharapkan lagi. Kudrat saya pun tidak segagah dulu lagi,” kata pemain berusia 37 tahun itu kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Shukor, yang pada kemuncak kariernya beraksi sebagai pemain tengah, berkata persaraan tonggak skuad kebangsaan daripada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu kapten Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abd. Radzak, S. Kunanlan dan Amirulhadi Zainal perlu dihormati dan menganggapnya sebagai hak masing-masing sebagai pemain untuk memutuskannya.

“Saya pun sudah pada peng­hujung karier. Saya rasa lebih baik saya tumpukan kepada Felda United dan Liga Malaysia sahaja.

“Saya pun tidak tahu berapa lama lagi boleh bertahan di peringkat ini, atau adakah pasukan lain yang turut mahukan khidmat saya selepas ini.

“Musim depan kalau sudah tiada lagi yang berminat, mungkin sudah sampai masanya saya pun kena gantung but,” katanya, yang antara pencapaian terbaiknya ialah memenangi Pestabola Merdeka 2007.

Bekas jurulatih negara Dollah Salleh adalah individu yang membawanya semula ke pentas antarabangsa ketika itu, bersama-sama seorang lagi pemain veteran Indra Putra Mahayuddin untuk Piala AFF 2014, selepas menyepi hampir tujuh tahun.

Shukor menyertai The Figh­ters sejak 2014 dan kontraknya bakal berakhir musim ini.

Selain mewakili negara sebanyak 54 kali sejak 2001, dia turut pernah menyarung jersi Negeri Sembilan, Selangor dan Angkatan Tentera malah pernah cuba dipancing kelab DPMM Brunei pada 2009.