Bapa Khairul Idham atau lebih mesra dipanggil Keon, Pawi Omar, 52, berkata, sejak lima perlumbaan lalu, dia terpaksa menggunakan duit sendiri untuk menampung perbelanjaan seorang pegawai yang mengi­ringi anaknya di luar negara.

Katanya, setiap kali pelumbaan, dia mengeluarkan duit poket sendiri antara RM10,000 hingga RM15,000 untuk per­belanjaan runcit anaknya dan pegawai pengiring.

“Kos ini tidak termasuk tiket kapal terbang dan perbelanjaan lain. Ini menyebabkan saya terpaksa menjual ternakan kerana wang simpanan sudah habis.

“Saya harap ada pihak yang sudi memberikan dana untuk membiayai kos pegawai pengi­ring tersebut. Ia amat penting untuk melancarkan urusan ke­r­jaya anak saya,” katanya.

Semalam, Khairul Idham atau lebih dikenali sebagai Keon meraih kemenangan kedua dalam kejuaraan motosikal dunia di litar basah Sachsenring.

Pelumba berusia 18 tahun itu yang mewakili Honda Team Asia sebelum ini turut menjuarai GP Argentina, April lalu.

Tambah Pawi, dia memerlukan RM200,000 untuk membiayai kos pegawai pengiring berkenaan bagi sembilan perlumbaan lagi yang perlu diharungi anaknya sehingga hujung tahun ini.

Katanya, dia tidak mampu mengumpul jumlah sebesar itu kerana hanya bekerja kampung.

Jelasnya, wang berkenaan bukan untuk anaknya tetapi untuk pegawai pengiringnya, yang menemani dan menguruskan keperluan pelumba itu.

“Keon telah buktikan kemampuan dan telah mengharumkan nama negara Malaysia, sudah tiba masanya kos untuk kejayaan itu kita kongsi,” katanya.