Jaringan pemain pertahanan, Safuwan Baharudin pada penghujung perlawanan memastikan JDT pulang dengan satu mata selepas terikat 1-1 dengan PDRM di Stadium Hang Jebat, Melaka dalam perlawanan Kumpulan C. Keputusan itu sekali gus meletakkan PDRM muncul selaku pendahulu kumpulan dengan empat mata.

Sementara itu, Bos Gaurus menjadikan laman sendiri di Stadium Perak sebagai tempat menebus kekecewaan perlawanan lalu dengan membelasah PKNS 4-1 dalam satu lagi aksi Kumpulan C. Gol-gol Perak dijaringkan oleh Elias Fernandes pada minit ke-48 (penalti) dan minit ke-66, diikuti Xhevahir Sukaj (minit ke-51), Fazrul Hazli Kadri (minit ke-52) sebelum Gozalo Manuel Soto menyumbat gol saguhati PKNS.

Dalam aksi Kumpulan B di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Kuala Lumpur melakar kemenangan pertama menewaskan Pahang 2-0, hasil jaringan pemain Brazil, Leonardo Moriera pada minit ke-10 hasil sepakan bebas dari jarak 35 meter, dan seorang lagi pemain import, Jonathan Zorrilla.

Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, sekali pun beraksi 10 pemain, Negeri Sembilan berupaya menewaskan pendahulu Liga Perdana, Melaka United 3-2 dalam aksi Kumpulan D.

Sementara itu, dalam Kumpulan A, JDT II dan Sarawak seri tanpa jaringan di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang.