Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata, bagaimanapun peruntukan yang diluluskan pada bulan lalu itu tidak dapat diserahkan kepada Khairul Idham selepas dia gagal memberikan nombor akaun bankknya dan beberapa dokumen diperlukan.

“Saya mempunyai salinan surat daripada Jabatan Belia dan Sukan Negara bertarikh 24 Jun lalu yang dihantar kepada Khai­rul Idham berkenaan kelulusan peruntukan RM100,000 seperti dijanjikan sebelum ini.

“Dalam surat itu kami me­minta beberapa maklumat peri­badi termasuk akaun bank atas nama Khairul Idham tetapi diberikan akaun bank atas nama bapanya Pawi Omar dan dokumen yang dise­rahkan juga tidak lengkap seperti diminta,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Fellows Structured BootCamp Felo Perdana 2016 di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai keluhan bapa Khairul Idham, Pawi, 52, yang terkilan kerana tiada pihak membantu pembangunan karier pemenang Moto3 Grand Prix Jerman itu seperti membiayai kos pegawai pengiring.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, kementerian tidak boleh menyerahkan peruntukan tersebut begitu sahaja kerana selain memerlukan dokumen yang lengkap wang tersebut diluluskan atas nama Khairul Idham dan bukan bapanya.

Beliau juga telah mengarahkan Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan untuk meluluskan RM100,000 lagi kepada pelumba pasukan Honda Team Asia itu sebagai tambahan kepada peruntukan yang diluluskan sebelum ini.

“Terpulang pada Khairul Idham untuk menggunakan wang tersebut sama ada untuk latihan, peralatan atau membayar khidmat pegawai pengiring,” ujarnya.

Dalam perkemba­ngan lain, Khairy berkata beliau sedang menunggu perkenan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk membincangkan dakwaan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bahawa berlaku penyelewengan dalam badan induk bola sepak negara itu.

“Saya telah menghadap Tunku Ismail pada minggu lalu dan berharap selepas pertemuan dengan Tengku Abdullah dalam masa terdekat dapat menemui jalan penyelesaian terhadap masalah dialami FAM,” ujarnya.

Berhubung dakwaan Tunku Ismail yang mempunyai bukti penyelewengan yang berlaku dalam FAM, Khairy berkata jika benar, maklumat itu seharusnya dikemukakan kepada pihak bertanggungjawab untuk tindakan lanjut.

“Jika ada apa-apa dakwaan terutamanya berkaitan dengan penyelewengan atau rasuah, (bukti) perlu dikemukakan kepada pihak yang bertanggungjawab kerana sesuatu bukti jenayah tidak seharusnya disimpan,” katanya.