Calon untuk mencipta sejarah Malaysia dalam Olimpik itu ialah jaguh badminton No. 1 dunia Datuk Lee Chong Wei atau Pocketrocket Man Azizulhasni Awang, pada pandangan Penolong Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi.

“Pingat lain mungkin daripada pemanah berpasukan kita yang bakal bersaing secara kalah singkir, juga Fatehah Mustapa (berbasikal wanita) selain terjun seirama,” katanya dalam majlis pemeteraian penajaan pakaian korporat jenama Kinslager untuk pengulas TV Astro Arena sempena siaran liputan Olimpik 2016, di sini hari ini.

Jika ramalan Kok Chi itu tepat, maka kontinjen kali ini turut akan membaharui sejarah pencapai­an negara dalam Olimpik sejak menyertai temasya di Melbourne pada 1956 dengan yang terbaik ialah sebutir perak dan sebutir gangsa di Atlanta 1996 dan London 2012.

Mengenai peluang Chong Wei yang dua kali berturut-turut kempunan emas kepada musuh ketatnya dari China, Lin Dan dalam perlawanan akhir di Beijing 2008 dan London 2012, katanya motivasi pemain itu kali ini lebih kuat berbanding lawannya yang sudah dua kali menjadi juara.

“Dia lebih arif bahawa inilah peluang terakhirnya pada usia 34 tahun (untuk bergelar juara Olimpik). (Usia) 30 tahun lebih bukan faktor penghalangnya tetapi dengan pengalaman luasnya, dia malah Azizulhasni tahu apa cabaran (daripada lawan lebih muda,” katanya.

Mengenai penyenaraian segelintir sukan pelik, kurang berpotensi untuk Malaysia meraih emas dan tidak relevan dengan misi ‘Kita Juara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017’, Kok Chi berkata: “Ini tidak akan sampai menjejaskan peluang kita. Saya masih yakin dan menjangkakan kita boleh dapat lebih 100 emas untuk menjamin kejayaannya.

“Cuma jika ada negara tertentu (yang kerap menduduki tiga teratas Sukan SEA lalu) menambah banyak emas dalam sukan-sukan itu, mungkin cabaran buat kita sukar sedikit. Hoki ais misalnya didapati lebih diminati negara lain rantau ini berbanding floorball (dipertandingkan di Singapura 2015).

“Ada lima negara mungkin menyertainya, Malaysia, Thailand, Singapura, Filipina dan Indonesia. Kita pun mungkin tidak menang emasnya sebab Thailand di ranking lebih baik dan berpengalaman bermain Sukan Asia Musim Sejuk.

“Bagi chinlone (berasal dari Myanmar yang mirip sepak raga bulatan), ada peraturan tertentu yang menghalang sesuatu negara menyertai semua acara yang dipertandingkan, jadi mungkin satu emas daripadanya, mampu dimenangi Malaysia,” ulas Kok Chi berhubung ruangan Mat Sport yang bertajuk, “Ada acara Sukan SEA 2017 tidak relevan” dalam Utusan Malaysia semalam yang mempersoalkan kemasukan acara-acara itu ke dalam temasya ke-29 itu.