“Bila-bila masa pun boleh jumpa,” titah baginda ringkas semasa ditemui selepas Majlis Pengurniaan Anugerah Kecemerlangan dan Khatam Hafazan al-Quran Maahad Tahfiz Negeri Pahang 2016 di sini, malam tadi.

Tengku Abdullah bertitah demikian semasa diminta mengulas kenyataan Khairy bahawa beliau sedang menunggu untuk menghadap baginda yang juga Tengku Mahkota Pahang pada minggu depan.

Pertemuan itu merupakan susulan isu persaraan empat pemain Johor Darul Takzim (JDT) daripada skuad kebangsaan dan dakwaan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mendakwa mempunyai bukti salah laku di dalam badan induk berkenaan.

Khairy juga memberitahu, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Tunku Ismail pada minggu lalu dan akan memikirkan penyelesaian kepada permasalahan itu selepas berjumpa Tengku Abdullah.

Ditanya mengenai dakwaan Tunku Ismail bahawa beliau mempunyai pemacu simpanan mudah alih (pendrive) yang mengandungi pelbagai maklumat rasuah dalam FAM, Tengku Abdullah enggan mengulas lanjut.

“Itu kena tanya pada orang yang ada pendrive itu,” titah baginda.

Minggu lalu, empat pemain bola sepak JDT iaitu Safiq Rahim, Aidil Zafuan Abdul Raszak, S.Kunanlan dan Amirul Hadi Zainal mengumumkan hasrat berundur daripada menyarung jersi Harimau Malaysia.

Tunku Ismail dalam kenyataannya mendakwa keputusan pemain itu berpunca daripada program dalam skuad kebangsaan dan sikap tidak bertanggungjawab FAM serta FAM dibelenggu rasuah.