Pengendali Skuad Singa Utara, Dollah Salleh mendakwa tindakan pengadil, Mohd. Nazmi Nasaruddin melayangkan kad merah kepada pemain import Perlis, Mohamadou Sumareh selepas menjatuhkan pemain JDT, Muhd. Shahrul Mohd. Adnan pada minit ke-82 adalah tidak wajar sama sekali.

Kata Dollah, Mohd. Nazmi sepatutnya memberi amaran keras atau kad kuning pertama kerana itu merupakan kesalahan pertama Mohamadou.

“Saya kecewa dan tak faham dengan keputusannya melayangkan kad merah kepada Sumareh. Dari pengamatan saya, tindakan beliau memang keterlaluan kerana Sumareh tidak bersikap melampaui batas,” katanya.

Meskipun kecewa dengan keputusan kontroversi itu, Dollah tetap memuji aksi anak buahnya yang memberi komitmen jitu pada perlawanan menentang pelawat.

Dollah berkata, Sumareh terpaksa direhatkan dua perlawanan namun masih belum memikirkan siapa yang bakal mengisi kekosongan penyerang berkenaan kerana ingin menumpukan persediaan perlawanan seterusnya.

Perlis bakal bertemu Melaka untuk perlawanan seterusnya di Stadium Hang Jebat pada Selasa depan.