Presidennya Datuk Seri Nizar Ariff Munshir Ariff turut menyeru penyokong setia mereka supaya hadir ke stadium dengan semangat kesukanan yang tinggi untuk menyokong pasukan.
Katanya, beliau mahu penyokong Pulau Pinang membuktikan mereka sebagai penyokong terbaik di negara ini dan tidak melakukan provokasi terhadap penyokong Lang Merah.
“Jangan ada unsur balas dendam sebaliknya fokus untuk menyokong pasukan kita serta layan tetamu dengan baik.
“Sekiranya penyokong tuan rumah mencetuskan kekecohan hanya akan merugikan FAP kerana berkemungkinan akan didenda oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM),” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Pertemuan kedua-dua pasukan sering berakhir dengan aksi panas penyokong termasuk ketika beraksi dalam Liga Perdana tahun lalu.
Selepas perlawanan pusingan pertama Liga Super di Alor Setar, Kedah pada April lalu, FAP membuat laporan polis setelah bas pasukan mereka dibaling batu sehingga mengalami kerosakan.
Segelintir kedua-dua penyokong pula sejak beberapa minggu lalu saling melancarkan provokasi melalui media sosial dan memberi amaran akan berlaku kekecohan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalalathrash Wahid memberi amaran keras kepada kedua-dua penyokong agar tidak melakukan kekecohan sebelum dan selepas perlawanan.
Katanya, pemeriksaan badan sebelum penonton masuk ke stadium akan dilakukan dengan ketat dan anggota polis tambahan akan ditugaskan untuk menjaga keselamatan di stadium esok.
“Saya berharap penyokong bersikap matang dan profesional ketika menyaksikan perlawanan serta terima keputusan dengan hati terbuka dan jangan melakukan perkara yang melanggar undang-undang negara,” katanya.
Dianggarkan 15,000 penyokong setia kedua-dua pasukan akan memenuhi Stadium Bandaraya esok untuk menyaksikan perlawanan yang dijangka sengit itu.