Popov berkata, kekecewaannya terhadap kekalahan itu sedikit terubat apabila barisan pemainnya memberikan aksi terbaik dalam perlawanan menentang kelab terkaya dari selatan itu.

Menurutnya, nasib menjadi penentu apabila barisan pemainnya gagal memanfaatkan peluang terhidang untuk menghasilkan gol.

“Saya cukup bangga dengan apa yang telah pemain tunjukkan sepanjang perlawanan. Mereka bermain dengan amat baik seperti yang telah diarahkan.

“Pada separuh masa pertama kami terpaksa membuat perubahan besar kepada corak permainan selepas kehilangan beberapa pemain di bahagian pertahanan terutama Jonathan McKain dan Muslim Ahmad,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Popov memberitahu, ketiadaan dua tonggak itu menyaksikan mereka mengalami sedikit kesukaran di bahagian pertahanan, namun pemain yang mengisi kekosongan memberikan komitmen tinggi apabila berjaya mengekang setiap asakan JDT.

“Pada separuh masa kedua kami mengambil risiko dengan membuat perubahan untuk mendapatkan jaringan namun apakan daya JDT merupakan sebuah pasukan yang bagus,” katanya.

Popov berkata, dia mahu barisan pemainnya segera melupakan kekalahan tersebut dan kembali bangkit dalam perlawanan akan datang.

“Fokus dalam perlawanan selepas ini penting kerana akan menentukan nasib Kelantan dalam saingan Piala Malaysia nanti,” katanya.

Jaringan pemain dari Argentina, Jorge Pereyra Diaz pada minit ke-46 sudah cukup untuk memastikan JDT terus mengukuhkan cengkaman di persada Liga Super, meninggalkan Felda United dengan kelebihan dua mata.