Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, selain menunggu pemilihan Kongres FAM bagi penggal 2018-2022, pertukaran tampuk kepemimpinan badan induk tersebut boleh ditukar dengan mengadakan EGM.

“Tengku Abdullah (Sultan Ahmad Shah) pernah menyatakan hasrat untuk meletak jawatan pada November lalu namun Exco FAM menolak surat peletakan jawatannya, sebaliknya memohon agar beliau terus menerajui FAM hingga habis penggal pada 2018.

“Bagaimanapun perkembangan terbaharu ini memang sesuatu yang mengejutkan dan Exco FAM akan mengadakan mesyuarat pada 15 Ogos ini untuk memutuskan langkah selanjutnya.

“Sekiranya Tengku Abdullah tetap dengan pendiriannya, kekosongan jawatan itu boleh diisi (menerusi pemilihan) dalam Mesyuarat Kongres FAM selepas ini. Walaupun Kongres dijadualkan berlangsung pada 15 September namun berdasarkan perlembagaan FAM, EGM hanya boleh dibuat setelah menerima notis dalam tempoh 90 hari. Namun, biarlah ahli Exco yang buat keputusan dahulu.

“Macam yang saya katakan sebelum ini, itulah prosedurnya (mengadakan EGM) jika diusulkan oleh ahli-ahli gabungan FAM atau tunggu hingga pemilihan Kongres yang akan datang.

“Ini kerana, ahli badan gabungan mempunyai kuasa tersebut jika mereka mahu mengubah pucuk pimpinan dalam persatuan dan harus dijalankan mengikut prosedur seperti yang termaktub dalam peraturan FAM,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan FAM bakal menerima ketua baharu apabila Tengku Abdullah memberi bayangan akan melepaskan jawatannya sebagai Presiden setelah berkata beliau “dalam proses keluar” daripada badan induk itu.

Tengku Abdullah yang memegang jawatan Presiden FAM sejak dua tahun lalu menegaskan beliau sudah tidak mempunyai urusan dengan badan induk bola sepak negara itu yang dilanda pelbagai kontroversi sejak kebelakangan ini.