Sane sekali lagi menyuarakan hasratnya untuk menyertai City sepanjang minggu lalu dan menyatakan dia tidak lagi akan berada di pusat latihan Schalke di Gelsenkirchen, selain turut mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sepasukannya untuk melakukan persiapan berpindah ke Manchester.
Yuran perpindahan menjadi perkara penting dalam perpindahan bintang muda Jerman itu yang hanya sempat melengkapkan satu musim penuh bersama Schalke.
Kelab Bundesliga Jerman itu pada mulanya meletakkan harga 50 juta pound (RM266.26 juta) untuk pemain berusia 20 tahun itu tetapi berharap dapat memujuk City menyediakan tawaran dengan nilai tambah menerusi tawaran harga 46.5 juta pound (RM247.62 juta).
Media Jerman pula melaporkan, Sane sudah berangkat ke Manchester untuk melengkapkan pemeriksaan perubatannya di sana.
Schalke turut mendapatkan khidmat Baba Rahman daripada Chelsea secara pinjaman berserta pertahanan Wolfsburg, Naldo selain pertahanan kanan Sevilla, Coke.
Mereka juga menyuarakan minat untuk mendapatkan pemain sayap Liverpool, Lazar Markovic dan Dusan Tadic daripada Southampton sebagai usaha menggantikan Sane.
Dalam pada itu, City juga dijangka melengkapkan perpindahan bernilai 27 juta pound (RM143.78 juta) untuk penyerang Brazil, Gabriel Jesus yang akan kembali ke Palmeiras secara pinjaman Januari ini selain Pablo Zabaleta diharap akan kekal bersama kelab itu meskipun menerima tawaran daripada Roma dan Inter Milan. – AGENSI