Selain bebas daripada kecederaan, kematangan permainan dan kebijaksaan di dalam gelanggang akan menjadi kekuatan buat pemain berusia 34 tahun itu untuk meraih emas.
“Empat tahun lepas saya tidak bersamanya tetapi saya diberitahu oleh (Tey) Seu Bock yang dia mengalami kecederaan buku lali dan sempat menjalani pemulihan untuk menyertai Sukan Olimpik.
“Tetapi kali ini dia bebas daripada kecederaan. Sepanjang persiapan Olimpik, Chong Wei banyak menyepikan diri untuk fokus kepada latihan.
“Mungkin kami tidak ada latihan berpusat seperti negara lain tetapi itu tidak bermakna kami tak bersedia, kami menjalani latihan secara senyap bagi mengurangkan gangguan,” kata jurulatihnya, Hendrawan.
Bagi Chong Wei, kekalahan kepada Lin Dan dalam dua final terdahulu tidak mematahkan semangatnya, biarpun dia dijadual berdepan bintang China itu sekali lagi dalam separuh akhir di Rio.
Chong Wei yang tidak pernah menggenggam kejuaraan dunia dan emas Olimpik menampilkan kebangkitan luar biasa untuk merampas ranking No. 1 dunia selepas bebas daripada penggantungan kerana kesalahan doping.
Bagaimanapun, bapa kepada dua orang anak itu tidak menafikan, beraksi dalam temasya terakhir membuatkan dirinya sedikit gementar.
“Saya rasa beban lebih berat kerana empat tahun lagi saya sudah tidak berpeluang, jadi ini harapan terakhir saya,” kata Chong Wei, yang diberi penghormatan membawa Jalur Gemilang dalam upacara pembukaan Sukan Olimpik 2016, 5 Ogos ini.
Bagi peringkat awal, Chong Wei diundi dalam Kumpulan A bersama pemain Surinam, Soren Opti dan Derek Wong dari Singapura.
“Saya tidak terlalu memikirkan mengenai separuh akhir, saya tahu semua orang akan tanya saya mengenai perkara ini.
“Saya akan beri tumpuan satu demi satu dan tidak boleh memandang rendah mana-mana pencabar.
“Kalau saya jumpa dia (Lin Dan) di separuh akhir, saya akan lawan,” katanya lagi.