Kontinjen negara yang ketika itu dikenali sebagai Malaya menghantar 33 atlet untuk menyertai 33 acara daripada lima jenis sukan, jumlah yang boleh dikatakan agak besar buat pendatang baharu.
Seperti diramalkan, tiada pingat berjaya dibawa pulang, namun penyertaan kali pertama mencetuskan semangat luar biasa bukan sahaja kepada ahli sukan tanahair yang lain, malah seluruh rakyat negara ini kerana ia membawa mesej kita boleh berdiri bersama negara lain di dunia.
Satu-satunya sukan yang menyerlah dalam penampilan sulung Malaya adalah hoki apabila pasukan negara beraksi baik di peringkat kelayakan dan hanya tewas sekali.
Begitupun, kurangnya pengalaman Olimpik menyaksikan mereka menamatkan kempen di kedudukan kesembilan daripada 12 pasukan bertanding.
Selain itu, penyertaan Annie Choong di Melbourne membolehkan dia menjadi wanita pertama negara beraksi di pentas Olimpik, malah bintang 100 meter itu adalah atlet wanita tunggal berada dalam kontinjen Malaya.
Dia, yang baru berusia 20 tahun ketika itu menamatkan perlumbaan di tangga keempat dalam saringkat kelima dan mencatat masa 12.50 saat.
Selain Malaya, Borneo Utara yang kini dikenali sebagai Sabah juga pernah menyertai temasya tersebut dan membuat penampilan sulung di Melbourne sebelum menjadi sebahagian daripada Malaysia pada tahun 1963.
Pada Sukan Olimpik 1960 di Rom, Itali, Malaya hanya menghantar kontinjen kecil yang terdiri daripada sembilan atlet – tiga atlet olahraga, dua renang, dua menembak dan dua angkat berat.
Sekali lagi kontinjen negara gagal membawa pulang pingat, namun perkembangan itu tidak mematahkan sokongan rakyat kepada atlet yang berusaha mengharumkan nama negara kerana mereka sedar untuk layak beraksi ke temasya tersebut sahaja bukan tugas mudah dan banyak ujian kelayakan perlu dilalui.
Pada Temasya Tokyo 1964, kontinjen negara mula menyertai Sukan Olimpik secara rasminya sebagai Malaysia.
Dalam temasya tersebut yang berlangsung dari 10 hingga 24 Oktober 1964, Malaysia diwakili 66 atlet yang terlibat dalam 10 jenis sukan dan 41 acara, iaitu peningkatan besar berbanding tahun-tahun sebelum ini.
Peningkatan itu juga bermakna, ia merupakan kontinjen Malaysia terbesar pada Sukan Olimpik.
Sejak penyertaan ketiga di Tokyo, Malaysia terus kekal menghantar penyertaan yang ramai secara konsisten dan tidak gentar untuk bersaing dengan atlet dari seluruh dunia.
Bagaimanapun tiga temasya pertama masih belum menjelmakan sebarang pingat.