Malah, dalam insiden bera­singan, tanjakan utama di Marina da Gloria, venue untuk acara pelayaran roboh, sekali gus mencetus persoalan sejauh mana kualiti pembinaan di bandar raya tuan rumah Olimpik itu, tiga hari sebelum temasya dibuka.

Jurucakap Jawatankuasa Pe­ngelola Rio 2016, Philip Wilkinson memberitahu, air pasang dan laut bergelora, hujung minggu lalu menjadi punca kerosakan di Marina da Gloria.

Syarikat pembinaan yang bertanggungjawab untuk projek berkenaan akan membuat pembaikan dalam tempoh empat hari – pelayaran bermula pada 8 Ogos.

“Ia tidak betul jika kita meng­anggap insiden ini merosakkan reputasi Marina da Gloria. Dalam persiapan temasya, perkara seperti ini boleh berlaku,” kata jurucakap Jawatankuasa O­limpik Antarabangsa (IOC), Mark Adams.

Sementara itu di Perkampu­ngan Olimpik, pasukan berbasikal Australia dikejutkan dengan kecurian komputer riba, yang dikhuatiri mengandungi maklumat sulit pelumba mereka.

Ketua Kontinjen Australia, Kitty Chiller berkata, sukar untuk mengenal pasti siapa yang bertanggungjawab kerana terlalu ramai orang berada dalam perkampungan dan ada antaranya tidak memiliki kad akreditasi.

“Ia (keselamatan) membimbangkan.

“Apabila anda mempunyai 15,000 katil, ada ramai orang berjalan di sekitar perkampungan.

“Saya tidak mahu tuduh sesiapa, tetapi ramai pekerja di luar sana tidak mempunyai akreditasi se­perti pencuci, pengemas bilik dan penyelenggara yang berjalan-jalan dengan bebas,” katanya.