Dua tahun lalu, Malaysia di­le­tak­kan dalam kumpulan yang sama de­ngan Myanmar dan pada waktu itu Harimau Malaysia berjaya ke peringkat separuh akhir bersama Thailand manakala skuad The White Angels terkandas awal.

Bagaimanapun dalam edisi kali ini, pengendali skuad kebangsaan Datuk Ong Kim Swee menyifatkan Myanmar sebagai pasukan pilihan kerana selain memiliki kelebihan beraksi di laman sendiri mereka turut mempunyai masa yang lebih panjang untuk me­lakukan persiapan.

“Saya percaya Myanmar me­rupakan pasukan pilihan dalam kumpulan kita di mana mereka berpeluang untuk siap sedia lebih awal dan saya dimaklumkan liga mereka akan tamat dalam tempoh tiga minggu lagi sekali gus membolehkan mereka melakukan persiapan dua atau tiga bulan lebih awal.

“Bermain di laman sendiri dengan persiapan yang rapi membuatkan Myanmar merupakan pencabar utama, begitu juga Vietnam kerana kita tahu prestasi mereka konsisten di Asia Tenggara. Saingann daripada pasukan yang layak (selaku juara pusingan kelayakan) juga kita tidak boleh ambil mudah.

“Walaupun berada dalam kumpulan yang lebih baik berbanding Kumpulan A tapi seperti yang saya katakan, pasukan di Asia Tenggara mempunyai kekuatan yang setara kecuali Thailand.

“Saya harap kita dapat melakukan persiapan lebih rapi kerana peluang kita untuk layak ke separuh akhir bergantung kepada pres­tasi ketika kejohanan nanti, jika pemain utama dapat diturunkan sudah pasti kita mampu bersaing sekali gus menempah tiket ke separuh akhir,” katanya kepada pemberita ketika dihubungi selepas majlis undian yang dilakukan di Yangon malam ini.

Myanmar yang merupakan tuan rumah bersama kejohanan diletakkan di dalam Kumpulan B bersama Malaysia, Vietnam dan juara pusingan kelayakan sama ada Kemboja, Laos, Timor-Leste atau Brunei.

Empat negara yang bakal beraksi di pusingan kelayakan melibatkan Kemboja, Laos, Timor-Leste dan Brunei, juara secara automatik akan diletakkan di dalam Kumpulan B.

Bagi Kumpulan A, tuan rumah bersama Filipina akan bersaing dengan juara bertahan Thailand, Singapura dan Indonesia.