Menurut pemilik tiga Piala Dunia itu, dia menerima jemputan daripada Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach dan Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Rio 2016, Carlos Arthur Nuzman.

Jurucakap jawatankuasa Rio 2016, Philip Wilkinson enggan mengesahkan perkara itu, sebaliknya berkata, identiti individu yang bakal menyalakan obor seharusnya dirahsiakan.

Pele, 75, memberitahu, dia mempunyai tanggungjawab bersama penaja yang memerlukannya berangkat ke tempat lain pada hari pembukaan temasya.

“Saya perlu selesaikan isu penerbangan. Ini adalah tanggungjawab di peringkat antarabangsa bersama syarikat Inggeris. Tetapi saya gembira (untuk menyalakan obor Olimpik).

“Kalau berjaya meminda jadual penerbangan, saya dengan penuh rasa hormat akan menyalakan obor Sukan Olimpik,” katanya.

Dua minggu lalu, Pele membawa obor Olimpik di Santos, kawasan luar bandar Sao Paulo, tempat di mana dia memulakan kerjaya bola sepaknya.

Pada 2004, Pele membawa obor Olimpik Athens di Rio dan menyatakan rasa terkilan kerana tidak pernah menyertai sukan itu sepanjang zaman kegemilangan.

Menurut media, beberapa nama menjadi pilihan untuk menyalakan obor di Stadium Maracana termasuk Pele, Torben Grael (pelayaran) dan Gustavo Kuerten (tenis).