Brazil sebelum itu turut diikat tanpa jaringan oleh Afrika Selatan dalam aksi pembukaan.

Keputusan seri 0-0 dengan Iraq di depan 60,000 penonton di Stadium Nacional Garrincha hari ini menyebabkan anak-anak buah Rogerio Micale menghuni tangga kedua kumpulan dengan dua mata di belakang Denmark.

Tuan rumah kini tiada pilihan kecuali mengalahkan Denmark pada Rabu ini untuk meneruskan kemaraan ke suku akhir atau berisiko tersingkir di depan penyokong sendiri.

Penyerang remaja sensasi, Gabriel Jesus, yang baru menyertai Manchester City dengan rekod perpindahan lumayan antara yang menjadi mangsa ejekan penyokong ekoran kegagalan menyempurnakan beberapa peluang terhidang selepas dibawa masuk pada babak kedua.

“Kami perlu meminta maaf kepada penyokong dan rakyat Brazil.

“Kami tidak beraksi dengan baik. Kami membuatkan penyokong rasa kecewa,” kata Micale.

Neymar, bintang dalam temasya ini beraksi di bawah keupayaan sebenar untuk kali kedua berturut-turut menyebabkan dua penyerang muda, Gabigol dan Jesus bergelut dalam perlawanan.

Penonton yang kecewa turut menyanyikan lagu ‘Marta, Marta’ merujuk kepada pemain terbaik dunia lima kali yang mengetuai saingan skuad bola sepak wanita Brazil di Olimpik.

Malah, mereka turut memuji kesungguhan Iraq selepas berjaya menidakkan kemenangan tuan rumah sambil bersorak dengan menyebut ‘Iraq, Iraq’.

“Ia adalah hari paling bersejarah buat Iraq kerana dapat mengikat Brazil di laman sendiri.

“Ini merupakan satu petanda baik dalam arena bola sepak Iraq,” kata jurulatih Iraq, Abdulghani Alghazali.