Jurulatihnya Tey Seu Bock berkata, dia dapat menyaksikan sendiri bagaimana tahap kekuatan mental Chong Wei meningkat dengan drastik pasca penggantungan itu dan kini dia bersedia menentang sesiapa sahaja tanpa gentar dalam usaha merealisasikan impian pingat emas pertama negara.

Tegasnya, kekuatan mental dalam perlawanan yang getir boleh menjadi penentu siapakah yang menjadi pemenang.

“Penggantungan adalah tempoh yang paling sukar kepada mana-mana pemain tetapi Chong Wei tidak putus asa dan membuat kemunculan semula dan berjaya kembali ke ranking No.1 dunia dalam masa yang singkat.

“Itu adalah dugaan paling besar dari segi mental dan kekuatan itu menjadikannya seorang pemain yang lebih matang dan mempunyai mental yang kuat untuk menyerap tekanan,” katanya sebelum sesi latihan skuad badminton negara di Riocentro, Barra semalam.

Seu Bock, yang melatih Chong Wei sejak 2002, berkata penampilan Chong Wei dalam temasya Olimpik kali ini juga adalah berbeza kerana dia pasti akan berbuat apa sahaja untuk mendapatkan emas selepas dua kali dikalahkan jaguh China, Lin Dan dalam perlawanan akhir, di Beijing 2008 dan London 2012.

Katanya, kedudukan Lin Dan pula adalah berbeza kerana sudah dua kali merangkul emas dan jika tewas sekalipun dia sudah memiliki pingat berkenaan berbanding Chong Wei yang masih memburunya.

“Saya rasa, keterujaan Lin Dan untuk mendapatkan emas di Rio tidak sama dengan Chong Wei yang akan bermain bermati-matian.

“Situasi ini juga dipercayai menggusarkan Lin Dan dan kem badminton China. Saya positif dan yakin kali ini Chong Wei mampu melakukannya,” katanya.

Mengulas lanjut, Seu Bock berkata, Chong Wei juga perlu berhati-hati dengan semua lawannya termasuk yang ditemui dalam pusingan awal.

“Chong Wei bintang No.1 dunia, pasti ramai pemain lain yang mahu mengalahkannnya. Bagi pemain berkenaan, mengalahkan Chong Wei adalah satu kepuasan dan bonus walaupun tidak berpeluang menerima apa-apa pingat,” katanya.

Chong Wei dijangka bertemu Lin Dan di peringkat separuh akhir dan mungkin seorang lagi jaguh China, Chen Long dalam final.