Ketua Kontinjen Malaysia, Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid berkata, kegagalan Jun Hoong dalam acara 3 meter papan anjal seirama semalam selepas berada di landasan memenangi pingat bersama pasangannya Nur Dhabitah Sabri bukanlah mudah untuk dihadapi.

Namun, katanya, Jun Hoong bangkit semula hanya dalam tempoh 24 jam untuk memenangi pingat perak yang merupakan pingat pertama negara di Olimpik Rio.

“Aksi semalam mungkin membuatkan dia kecewa tetapi saya katakan dia sebenarnya berada dalam kelompok lapan terbaik dan selepas menamatkan aksi, mereka (Jun Hoong dan Dhabitah) berada di anak tangga kelima, bermakna mereka di kedudukan kelima terbaik dunia dan ini juga merupakan kali pertama mereka digandingkan dalam Olimpik.

“Saya juga beritahu, awak ada lima terjunan lagi (bersama Pandelela hari ini) dan ia akan mengubah hidup awak,” katanya kepada wartawan Malaysia selepas majlis penyampaian pingat acara 10m platform seirama di Pusat Akuatik Maria Lenk di sini petang semalam.

Mengenai kejayaan Pandelela dan Jun Hoong, Mohamed Al Amin berkata dia amat gembira dan lega kerana Malaysia sudah berjaya meraih pingat selepas empat hari temasya Olimpik dirasmikan.

Secara peribadi, katanya, kejayaan meraih perak adalah sesuatu yang mengejutkan walaupun acara berkenaan adalah prospek untuk mendapatkan pingat.