Di Olimpik London 2012, Blake sekadar berpuas hati dengan pingat perak dalam dua acara iaitu 100m dan 200m di belakang Bolt dan dia menceritakan kembali detik sebelum bermulanya perlumbaan ketika itu apabila dirinya agak gementar.
“Bagaimanapun, Sukan Olimpik pada kali ini akan menjadi berbeza kerana saya sudah cukup matang, kuat dan memberikan tumpuan sepenuhnya. Saya bukan lagi muda dan tidak lagi naif, bermakna pada perlumbaan kali ini, saya tidak akan menjadi begitu gementar,” katanya yang berusia 26 tahun.
Blake kini sedang berusaha keras bagi memastikan kejayaan di atas trek adalah miliknya bagi acara 100m yang akan bermula dengan pusingan kelayakan esok, sebelum final pada Ahad ini.
“Apabila saya berada di atas trek, saya hanya cuba yang terbaik dan berseronok, sama juga seperti Usain (Bolt), kami akan tertawa apabila berborak tentang beberapa perkara secara rawak.
“Sungguhpun begitu, apabila berada di garisan permulaan, segala yang berlaku sebelumnya akan dilupakan dan kami tidak lagi menjadi sahabat,” katanya.